Heliconia’s Weblog @ Malaysia

Love God, Care for Humankind

Penyakit Universal : Sakit Jiwa (ii)

 depressed1.jpg

Bagaimana penyakit jiwa ini boleh berlaku? Manusia rasa dirinya ada kuasa. Merasa dirinya kuat dan boleh buat apa sahaja. Bila  ada cabaran dan tekanan hidup, rupanya dirinya lemah, tiada kuasa.
Dia rasa tertekan. Bagaimana hendak menangkisnya? Bila  tidak dapat ditangkis, maka jiwanya derita, dia rasa tension  dan mengalami stress.

Oleh kerana manusia tidak ada kuasa untuk mengatasi  cabaran dan kesusahan, maka fitrahnya ingin agar ada orang  yang membela dan menyelamatkan dia.

Bila ada masalah, dia  ingin agar ada orang yang menolong. Tetapi siapakah yang
boleh menolong? Adakah manusia, sedangkan semua manusia  mempunyai masalah yang sama.

Manusia perlukan satu super power  yang lebih dari segala-gala yang ada di alam ini.

Manusia perlukan Tuhan, Zat yang Maha Agung yang  kuasa-Nya tiada mula dan tidak terbatas. Apabila Dia menghendaki  sesuatu, hanya dengan berkata jadi maka jadilah. Dia
Zat yang Maha Menyelesaikan segala masalah manusia. Dia  doktor yang Maha Pakar dan menyembuhkan penyakit jiwa  manusia. Dia tidak bertempat dan tidak tertakluk kepada ruang dan masa. Dia boleh dihubungi, boleh menghubungi  dan boleh menyelesaikan masalah seluruh manusia dan  makhluk-Nya serentak dalam satu masa di mana sahaja.

Malangnya, ramai manusia tidak percaya Tuhan, tidak kenal Tuhan dan tidak faham peranan Tuhan. Lebih-lebih lagi  tidak cinta dan tidak takut Tuhan. Inilah yang menyebabkan  jiwa  menjadi kosong. Inilah dia asas bagi penyakit jiwa. Kalau kita
tidak tahu bahawa Tuhan ada peranan dalam kehidupan  ertinya kita tidak ada pelindung, dan kita tidak ada pembela.

veiled-malays.jpg

Apabila ada masalah kita tidak ada tempat rujuk dan tempat  mengadu. Kita tidak ada tempat bergantung. Kalau kekosongan  jiwa ini berlaku satu hari, tidak mengapa. Tetapi kalau  berlaku bertahun-tahun, ia jadi barah. Akhirnya barah ini pecah dan lahirlah penyakit jiwa.

Manusia lemah dan tidak ada kuasa. Oleh itu manusia perlu bersandar kepada sesuatu  kuasa yang gagah, perkasa dan mutlak iaitu Tuhan. Barulah hati manusia akan menjadi teguh dan kuat.

Manusia perlu kepada Tuhan. Manusia perlu rasa bertuhan.  Tuhan adalah segala-galanya. Kekuatan jiwa manusia adalah  setakat mana dia rasa bertuhan. Kurang rasa bertuhannya,  maka kuranglah kekuatan jiwanya. Kuat rasa bertuhannya maka kuatlah jiwanya. Kalau seseorang itu tidak langsung  mempunyai hubungan dengan Tuhan, percaya pun tidak,  kenal pun tidak, maka jiwanya akan menjadi lemah dan rosak, dan akan dihinggapi penyakit. Akan timbullah rasa kosong, risau, rimas dan runsing. Akan hilang ketenangan jiwa.

Allah  ada berfirman: Maksudnya:

Ketahuilah bahawa dengan mengingati
Allah itu, hati akan menjadi tenang
.”
(Ar-Ra’du: 28)

Apabila manusia lahir ke dunia, dia dibekalkan dengan fitrah. Fitrah adalah keinginan dan kecenderungan semulajadi. Keinginan fitrah yang paling besar dan utama ialah rasa ingin bertuhan. Rasa perlu kepada Tuhan. Rasa mahu kepada Tuhan. Rasa ingin membesar, mengagungkan, mengabdi diri dan bergantung dengan Tuhan.

Orang yang tidak percaya dan tidak kenal Tuhan itu adalah orang yang melawan fitrah semulajadinya. Iaitu dia melawan kehendak hati dan jiwanya. Dia tidak memenuhi keperluan dan tuntutan jiwanya. Dia hanya mengikut arahan nafsunya.

Percaya, kenal dan rasa bertuhan itu adalah makanan bagi hati dan jiwa. Orang yang tidak percaya, tidak kenal dan tidak rasa bertuhan itu ialah orang yang tidak memberi makan kepada hati dan jiwanya. Hatinya jadi gersang dan tandus, lemah dan longlai. Itu sebab timbul krisis jiwa. Itu sebab jiwa dihinggapi penyakit.

Orang yang mengidap penyakit jiwa ini terdedah kepada berbagai-bagai bahaya. Dalam hendak mengubat jiwanya yang parah dan menderita itu bukan terhenti setakat menagih
dadah. Ini dianggap ringan. Di dalam kes-kes yang lebih berat, ada yang mengambil jalan singkat dengan membunuh diri.

Ada pula pesakit jiwa yang mencari ketenangan dengan membunuh orang sesuka hati. Dia rasa dengan membunuh orang, hati dia jadi tenang. Ada yang mencari ketenangan dengan merogol. Ada yang mencari ketenangan dengan merosakkan harta umum (vandalisme). Padahal, bagi orang yang sihat jiwa, semua perbuatan ini dirasakan keji dan jijik dan mendatangkan rasa bersalah (guilty conscious).

Bagi orang yang sakit jiwa, dia melakukan semua itu untuk mendapatkan
ketenangan. Bagi mereka, itu disangkakan ubat.

Begitulah keadaan orang yang ditimpa penyakit jiwa. Dari sakit jiwa, berbagai-bagai perkara negatif dan berbahaya boleh berlaku sama ada kepada pesakit itu sendiri atau kepada  masyarakat.

Jadi segala penyakit yang lahir ini adalah kerana penyakit jiwa yang
tersembunyi.

Apakah jalan keluar?

Apakah yang perlu kita buat untuk mengubati penyakit jiwa yang tersembunyi ini supaya jangan timbul penyakit kedua atau penyakit lahir yang memberi kesan dan mengharu-birukan masyarakat. Ini termasuklah penagihan dadah, gejala sosial dan berbagai bentuk maksiat yang lain.

Bagaimana kita mahu mengelak supaya hati-hati muda-mudi dan remaja tidak menjadi kosong, risau dan rimas tidak menentu. Supaya fikiran mereka jangan berpusing tidak tentu  hala.

Kita mesti cari jalan bagaimana hendak lahirkan satu generasi yang jiwanya tidak kosong, tidak gelisah dan mempunyai fikiran yang stabil. Kalau penyakit jiwa ini dapat dirawat dan disembuhkan, mengubat penyakit kedua atau penyakit  lahir sudah jadi mudah.

Untuk mengubatinya, kita kena pulihkan semula jiwa bertuhan. Beri mereka ilmu tentang Tuhan, ilmu yang boleh mendatangkan rasa cinta dan takut dengan Tuhan. Fahamkan
mereka tentang peranan Tuhan dalam kehidupan. Yakinkan mereka bahawa Tuhan adalah sangat diperlukan oleh setiap insan. Tuhan adalah segala-galanya. Setiap orang yang bertanggungjawab untuk memulihkan penyakit jiwa ini kenalah  faham apa yang disebut di atas. Itulah ramuannya. Itulah  penawarnya. Tidak ada yang lain.

Di samping itu, sebagai tambahan:

• Betulkan semula sistem rumah tangga
• Stabilkan semula sistem masyarakat
• Hapuskan hidup nafsi-nafsi
• Stabilkan semula pemerintahan dan politik
• Susun semula sistem ekonomi supaya agihan keperluan
    jadi merata.

Walaupun perkara ini bukan perkara asas atau pokok,  namun ia adalah perkara tambahan yang dapat membantu.

Apa penyakit jiwa dari sifat2 jahat kita - mazmumah?

Kita baru selesai membincangkan penyakit jiwa yang biasa.  Selain penyakit jiwa yang biasa ini, ada lagi bentuk penyakit  jiwa yang kesannya adalah jauh lebih serius. Ia dinamakan  penyakit jiwa mazmumah.

Kalau penyakit jiwa yang biasa itu  gejalanya ialah rasa kekosongan, risau, runsing dan rimas,  penyakit jiwa mazmumah ini pula ialah disebabkan hati yang  telah diserang dan dikotori oleh sifat-sifat yang keji seperti  sombong, tamak, bakhil dan lain-lain.

Penyakit jiwa mazmumah ini lebih bahaya. Penyakit inilah  yang boleh memecah-belahkan rumah tangga, memecahbelahkan  masyarakat, memusnahkan perpaduan dan kasih  sayang, menimbulkan perbalahan, krisis, jatuh menjatuh, korupsi dan  peperangan.

Dunia hari ini lebih banyak dirosakkan oleh  penyakit jiwa mazmumah ini dari penyakit jiwa biasa atau  penyakit-penyakit yang lain.

Sekian : Tulisan Mejar [B] Abu Zarem

November 3, 2007 - Posted by heliconia | Fikir Guna Hati, KULIYYAH.....! | | No Comments

No comments yet.

Leave a comment