Heliconia’s Weblog @ Malaysia

Love God, Care for Humankind

Sheikh Dituduh Membuat Duit Palsu

HISTORY REPEATS ITSELF….

BERBAGAI-BAGAI TUDUHAN TELAH DILEMPARKAN KEPADA SYEIKH SUHAIMI

 Setengah daripada orang-orang yang telah memusuhinya itu telah menuduh bahawa “tariqat” dan ilmu-ilmu yang diajarkan oleh Syeikh Suhaimi itu salah atau syirik. Erti syirik dengan ringkas ialah menyekutukan Allah maka hukum orang yang menyekutukan Allah itu ialah kafir. [Tuduhan seperti ini sudah dijawab].

ISTILAHAH MASAKINI -SESAT & MENYESATKAN

 Setengah musuhnya yang lain pula telah menuduh konon ia ada menubuhkan satu kumpulan jahat, bahkan ada yang lagi yang mengatakan bahawa tariqat yang diajarkan olehnya itu bukan tariqat, bahkan ada pula yang menghukumkan bahawa wanita-wanita yang membaca Maulid dengan menyaringkan suara hukumnya haram.

 Akhirnya setengah daripada musuh-musuhnya yang sangat marah kepadanya [sehingga mereka tidak dapat menahan kemarahan mereka] telah mengadukan kepada pihak pemerintah Singapura [dengan menghantar surat 'layang' iaitu tanpa ditandatangani, atau dengan lain-lain cara lagi] tentang kesalahan-kesalahan yang kononnya dilakukan oleh Syeikh Suhaimi itu, dan satu daripada tuduhan-tuduhan itu ialah bahawa Syeikh Suhaimi ada membuat wang-wang palsu ialah kerana mereka lihat bahawa kehidupan Syeikh Suhaimi agak mewah juga sedangkan ia nampaknya tidak mempunyai pekerjaan atau perniagaan yang munasabah untuk menghasilkan wang yang lumayan.

MEMBUAT WANG

 Tuduhan yang telah tersebut itu dapat diketahui ialah kerana pada suatu hari seorang merinyu bangsa Eropah beserta beberapa orang mata-mata biasa telah datang ke rumah Syeikh Suhaimi untuk menyelidik satu pergaduhan ; iaitu Syeikh Suhaimi konon ada membuat wang palsu, sebagaimana baru tersebut tadi. Syeikh Suhaimi telah menyatakan kepada pihak polis itu bahawa ia benar boleh membuat wang, tetapi wang itu wang betul, bukan wang palsu. Dan jika pihak polis mahu melihat bagaimana membuat wang itu ia akan tunjukkan . Memanglah pihak polis itu mahu melihatnya.

 Syeikh Suhaimi pun menarik salah sebuah daripada laci mejanya dan menunjukkan laci itu kepada orang-orang polis tadi. Sekalian mereka yang ada di situ, dapatlah melihat dengan nyata bahawa laci itu kosong. Setelah itu maka Syeikh Suhaimi pun sembahyang hajat dua rakaat lalu ia berdoalah kepada Allah, kemudian ia terus menarik sekali lagi akan laci yang kosong tadi. Tiba-tiba kelihatanlah oleh sekalian yang hadir bahawa laci yang kosong itu penuh dengan wang emas, lalu Syeikh Suhaimi pun berkatalah kepada merinyu tadi bahawa begitulah caranya kalau hendak membuat wang, bahkan ia telah menawarkan kepada merinyu itu supaya ia mengambil sedikit daripada wang itu jika ia mahu, tetapi merinyu itu enggan mengambilnya.


SANGAT MEMERANJATKAN

 Setelah itu maka Syeikh Suhaimi pun memasukkan kembali laci tadi lalu ia pun sembahyang hajat dua rakaat sekali lagi dan kemudian apabila ia menarik laci itu keluar semula, tiba-tiba tidaklah kelihatan wang itu. Laci itu telah kosong semula. Sanya, kejadian yang luar biasa tadi sangatlah memeranjatkan sekalian yang hadir termasuklah merinyu itu sendiri.

 Dengan tidak bercakap banyak lagi maka pihak polis itu pun keluarlah meninggalkan rumah Syeikh Suhaimi itu. Dan semenjak itu maka senyaplah begitu sahaja tentang Syeikh Suhaimi ada membuat wang palsu itu. Bahkan segala tuduhan-tuduhan yang lain terhadap Syeikh Suhaimi yang diadukan kepada pihak polis itu tidak lagi mendapat apa-apa layanan dan maksud yang jahat itu tidak memberi bekas atau menghasilkan apa-apa akibat kepada Syeikh Suhaimi [Rahimahullahu Taala].

BALASAN PERMUSUHAN-PERMUSUHAN ITU

 Dengan keadilan Allah SWT maka kebanyakkan orang-orang yang membuat permusuhan kepada Syiekh Suhaimi itu telah menerima balasan yang buruk, porak-peranda dan kerosakan atau kecelakaan . Setengah daripada mereka telah kena penyakit selama bertahun-tahun sehingga rosak rupa dan sifatnya dan setelah mati pula maka harta benda telah punah-ranah. [kecuali si wali mendoakan sebaliknya-pt]

 Setengahnya lagi telah terkena batuk darah sehingga mati dan begitu juga dengan punah-ranah harta bendanya. Ada pula yang menuduh bahawa ajaran Syeikh Suhaimi itu salah dan sesat dan orang itu juga telah kena muntah darah, tetapi walaupun ia akhirnya telah sembuh setelah mencari berbagai-bagai ubat di dalam masa yang lama dengan belanja yang banyak namun pangkatnya telah hilang dan ia telah mati dalam keadaan yang terhina. Setengahnya lagi telah berubah atau hilang akalnya hingga ia mati.

 Selain daripada itu ada pula murid-muridnya yang telah berpaling tadah dan engkar serta mencaci akan ajaran ataupun peribadi Syeikh Suhaimi sendiri. Bahkan ada juga yang menjalankan ajarannya pada zahir sahaja sedangkan pada batinnya atau hakikatnya ia semata-mata hendak mencari wang untuk kepentingan diri sendiri dengan menjual “nama Syeikh” Suhaimi. Maka orang-orang yang tersebut ini juga telah rosak akal mereka atau tidak sempurna kehidupan mereka sehingga akhir hayat mereka.

SESUAI DENGAN SABDA NABI S.A.W 

 Akibat-akibat yang baru tersebut itu dan akibat-akibat yang sepertinya memanglah tepat dengan sabda Rasulullah SAW begini ;


Ertinya ;
   ” Daging para ulama itu racun. Barang siapa memakannya nescaya ia binasa.”
 
 Tujuan hadis ini dengan lebih nyata ialah bahawa orang-orang yang suka menghina-hinakan ulama atau sangat benci kepada mereka sehingga berani membuat fitnah terhadap mereka nescaya akan mendapat laknat dan bala daripada Allah S.W.T dengan sebab mulianya ulama itu pada sisi Allah S.W.T.

 Ada pun orang-orang yang dinamakan ulama itu ialah mereka yang alim di dalam ilmu-ilmu agama Islam serta menjalankan amal ibadat dan menjauhkan maksiat. Tegasnya orang-orang yang bertaqwa.

BERTAUBAT DAN MEMINTA MAAF

 Tetapi sayugialah disebutkan di sini bahawa setengah daripada seteru-seteru Syeikh Suhaimi itu telah insaf dan bertaubat pada Allah S.W.T serta memohon maaf kepada Syeikh Suhaimi di hadapan Syeikh Suhaimi sendiri dan Alhamdulillah dengan izin Allah S.W.T orang-orang itu telah terselamat.

MAUNNAH, KAROMAH, MUKJIZAT DAN SIHIR

 Sebelum kita teruskan Manakib Syeikh Suhaimi ini maka eloklah - bahkan pentinglah - kita nyatakan terlebih dahulu bahawa tiap-tiap kejadian yang luar biasa atau “ajaib” dan baik yang berlaku kepada rasul-rasul dan nabi-nabi itu dinamakan “Mukjizat“. Dan jika kejadian-kejadian yang seperti itu berlaku kepada orang-orang Islam yang sangat soleh dan kuat beribadat atau Wali Allah maka kejadian-kejadian itu dinamakan “Karomah atau Keramat”.

 Dan jika kadang-kadang kejadian yang seperti itu berlaku kepada orang-orang ahli ibadat yang biasa [orang soleh] maka kejadian itu dinamakan “Maunnah“. Tetapi jika kejadian-kejadian yang seperti itu berlaku kepada seorang yang ahli maksiat atau fasik maka kejadian itu dinamakan “Sihir”.

 Oleh yang demikian, maka saudara-saudara kita orang-orang Islam sekalian hendaklah mengetahui dan mengingatkan perbandingan terhadap perkara-perkara yang baru tersebut itu dengan betul supaya tidak terkeliru dan salah kepercayaannya [salah iktikad]. 

Dipetik dari Manaqib Syeikh Muhammad ibnu Abdullah AsSuhaimi

[ Boleh didapati di PERIPENSIS, Singapura]

December 27, 2006 - Posted by heliconia | Miscl | | 5 Comments

5 Comments »

  1. MasyaAllah. Begitulah karamah seorang auliya. Sesipa memusuhi para auliya seolah2 berperang dengan Allah!

    Comment by MURSHID | January 14, 2007

  2. Sesungguhnya hati kecil ini sedari dulu sentiasa mencintai kekasih ALLAH kerna ketinggian akhlak, kehambaan yang tinggi pada NYA..membuat aku rindu kepadanya dan ingin mencontohi menjadi sepertinya ‘orang yang dekat padaNYA

    Comment by aregie_lyas | February 6, 2007

  3. Maha Suci Tuhan yang telah mengurniakan karamah kepada mereka yang dikehendakiNya.

    Semoga kita sekelian dimasukkan ke dalam golongan orang-orang yang mencintai dan mengasihi para wali Allah, demi mengambil berkat daripada sabdaan Rasulullah, sollallahu ‘alaihi wa sallam, “Engkau akan dikumpulkan dengan orang-orang yang engkau kasihi.”

    Comment by abdul rahim | November 3, 2007

  4. “Daging para ulama itu racun. Barang siapa memakannya nescaya ia binasa”

    Memakan daging ulama adalah tamsilam memfitnah dan mengumpat para kekasih2 Allah.

    Comment by heliconia | November 6, 2007

  5. [...] Suhaimi yang pernah diharamkan Pusat Islam Malaysia . Baca : Baca  Petikan Manaqib 1, 2, 3 dan 4. Lihat juga Biografi Ringkas Muhamad bin Abdullah AsSuhaimi, Manakib Ringkas As [...]

    Pingback by Tokoh ulama dari Keluarga Sayidi Sheikh As Suhaimi « Heliconia’s Weblog @ Malaysia | May 3, 2008

Leave a comment