Heliconia’s Weblog @ Malaysia

Love God, Care for Humankind

Karamah Lahiriah Sheikh Suhami:Bhg 2-Ghaib!

syeikhsuhaimi.jpg

SYEIKH SUHAIMI SAKIT TENAT

Pada suatu masa sedang Syeikh Suhaimi sedang berada di Klang tiba2 ia telah tidak sedar dan tidak bergerak2 seolah-olah seperti orang yang sakit tenat. Walau pun berbagai2 ikhtiar telah dibuat untuk menyembuhkannya namun tidak memberi apa-apa kesan.

Tetapi setelah tiga hari ia berada di dalam keadaan yang tersebut itu tiba-tiba ia sedar dan pulih seperti sedia kala. Hanya ketika itu ada sesetengah muridnya dapat memerhatikan satu tanda bekas luka yang baru pada lengan kanan Syeikh Suhaimi itu.

Bagaimana pun, hal itu tidaklah diambil tahu dengan lebih lanjut lagi, lalu perkara itu pun telah senyap dan dilupakan begitu sahaja.

Tetapi setelah beberapa minggu kemudian, pada hari Jumaat apabila Syeikh Suhaimi menjadi imam di Masjid Ma’ruf [Singapura] itu maka ada orang2 melihat seorang India Islam [yang hadir untuk sembahyang di situ] telah berpindah2 tempat di dalam masjid itu sambil ia memerhatikan sungguh-sungguh kepada Syeikh Suhaimi yang sedang membaca khutbah Jumaat pada ketika itu.

MASIH MEMERHATIKAN

Maka sesudah sembahyang Jumaat itu Syeikh Suhaimi pun mengajarlah sebagaimana biasa akan orang ramai seperti yang telah tersebut dahulu itu. Tetapi rupa-rupanya orang India tadi masih ada duduk di antara mereka yang hadir di majlis itu, dan ia masih juga memerhatikan wajah Syeikh Suhaimi dengan bersungguh-sungguh.

Akhirnya ada seorang murid Syeikh Suhaimi telah bertanya kepada orang India itu tentang halnya yang ganjil itu. Iaitu apa sebabnya ia bersungguh-sungguh memerhatikan Syeikh Suhaimi dengan tidak sudah2 itu. ia pun telah menjawab bahawa ketika ada pergaduhan besar di India di antara orang2 Islam dan Hindu beberapa minggu yang lalu maka ia telah melihat dengan sah dan jelas bahawa Syeikh Suhaimi itulah salah seorang yang bersama2 telah berjuang membela orang2 Islam di dalam pergaduhan itu.

Kemudian bukan itu sahaja, apabila murid2 Syeikh Suhaimi mengira masa pergaduhan di India itu maka didapatilah bahawa pergaduhan itu telah berlaku tepat pada masa Syeikh Suhaimi berada di dalam keadaan tidak sedarkan diri.

MARILAH RENUNGKAN PERKARA INI

Cubalah pembaca2 sekalian renungkan hal ini. Apakah ertinya? Pada masa itu tiada sesiapa yang mahu menanyakan perkara itu kepada Syeikh Suhaimi, tetapi sudah nyatalah sekarang bahawa pada masa berlakunya pergaduhan di India sebagaimana yang telah tersebut dahulu itu maka suatu kejadian yang sungguh pelik telah berlaku terhadap diri Syeikh Suhaimi, iaitu dirinya atau tubuh badannya itu telah ternampak seolah-olah sakit atau pengsan dan terbaring di rumahnya di Klang, padahal di waktu itu juga ia sedang berada di India berjuang membela orang2 Islam di dalam pergaduhan yang telah tersebut itu. Dan daripada hal ini juga maka dapatlah kita faham tentang timbulnya tanda bekas luka pada lengan tangannya itu setelah ia sedar daripada “sakitnya” itu.
ADA DI DUA TEMPAT PADA MASA SAMA

Menurut kenyataan Saiyid Muhammad Nun bin Sayid Hassan Al Attas iaitu salah seorang murid Syeikh Suhaimi yang karib padanya, bahawa Syeikh Suhaimi banyak kali telah pergi balik di antara Singapura dan Jawa dalam masa sebentar sahaja dengan tidak menaiki apa-apa, serta membawa balik bersama2nya barang2 yang tertentu, bahkan ada masanya Syeikh Suhaimi sendiri memberitahu bahawa dia baru pergi menziarahi Sultan Solo yang pada masa itu menjadi raja di Jawa, dan Sultan itu pula dikatakan oleh orang ialah seorang wali Allah, kerana baginda ialah seorang yang sangat soleh serta ternampak pada baginda perkara-perkara yang ganjil.

Dan pada ketika Sultan Solo itu mangkat maka ada orang yang kenal baik dengan Syeikh Suhaimi berkata bahawa dia telah nampak Syeikh Suhaimi ada bersama-sama orang menghantar jenazah baginda ke kuburnya di Jawa itu, padahal ketika itu juga murid2 Syeikh Suhaimi tahu dan nampak bahawa Syeikh Suhaimi ada di Singapura menjadi imam dan mengajar murid2nya seperti biasa.
ADA DI TIGA TEMPAT SAMA PADA SATU MASA

Seorang murid Syeikh Suhaimi yang dikenali dengan gelaran Wak Saniman, seorang penhulu yang tinggal di Parit Saniman, Pontian ,Johor telah menceritakan satu kejadian mengenai Syeikh Suhaimi begini :
Pada satu masa di Singapura, Syeikh Suhaimi telah menyuruh salah seorang muridnya pergi ke suatu tempat yang tertentu di Pasir Panjang pada jam satu malam tepat kerana Syeikh Suhaimi hendak menemuinya di sana. Tetapi Syeikh Suhaimi juga menyuruh seorang muridnya yang lain pergi ke suatu tempat yang tertentu di Geylang pula pada jam satu malam tepat juga kerana ia hendak menemuinya di sana. Bahkan bukan setakat itu sahaja kerana ia telah menyuruh muridnya yang lain lagi supaya pergi ke suatu tempat yang lain di Bukit Timah pada waktu yang sama kerana ia hendak berjumpa dengannya di sana.

Dengan sebab suruhan yang ganjil ini maka timbullah tandatanya adakah Syeikh Suhaimi hendak bergurau sahaja dengan murid2nya? Bagaimana ia boleh berada di tiga tempat sama pada satu masa?

Murid2 yang bertiga orang tadi telah mematuhi suruhan Syeikh Suhaimi itu, dan kemudiannya tiap2 orang daripada mereka telah menyatakan bahawa tepat sebagaimana yang dikatakan oleh Syeikh Suhaimi itu maka tiap2 seorang daripada mereka telah betul ditemui oleh Syeikh Suhaimi pada tempat2 yang dijanjikan itu pada jam satu malam tepat. Ketika berjumpa dengan Syeikh Suhaimi itu maka mereka telah diberi nasihat dan lain2 perkara oleh Syeikh Suhaimi.

Wak Saniman tadi telah ditanya tentang apakah sebab atau tujuan Syeikh Suhaimi melakukan perkara yang tersebut, iaitu menampakkan dirinya pada tiga tempat yang berlainan kepada tiga orang muridnya di dalam satu masa.

Dijawab oleh Wak Saniman lebih kurang bahawa pada masa itu ada sesetengah muridnya suka bertengkar antara satu sama lain di dalam beberapa perkara yang tertentu dan apabila dinasihatkan oleh Syeikh Suhaimi supaya ditinggalkan pertengkaran yang seperti itu maka mereka nampaknya masih cuai hendak menurut nasihat itu dengan penuh.

Maka dengan ditunjukkan kelebihan yang tersebut itu mereka telah sedar akan hal guru mereka dan berasa insaf akan kelakuan mereka yang kurang elok yang telah ditegurkan oleh guru itu lalu mereka pun telah menerima teguran dan nasihat itu. Selepas itu pertengkaran yang tersebut tadi telah berkurang dan tidak berlaku lagi.

Tetapi rasanya ada sebab lain mengapa Syeikh Suhaimi menunjukkan kelebihannya itu sebagaimana akan datang perkara itu.

BERADA DI MAKKAH & SINGAPURA

mecca-satellite1.jpg

Satu kejadian yang seperti itu juga telah diceritakan oleh salah seorang murid Syeikh Suhaimi begini :

Murid itu telah pergi mengerjakan haji di Makkah. Sedang dia duduk di dalam Masjid Haram membaca “aurad” yang termaklum itu [dengan tidak menggunakan bijian tasbih] tiba-tiba ia melihat Syeikh Suhaimi datang kepadanya lalu berkata kepadanya begini :

“Di mana tasbih?” dijawab oleh murid itu, “Saya tidak ada tasbih”.
Disahut oleh Syeikh Suhaimi, “Kalau tidak ada tasbih bagaimana kamu boleh menghitung bacaan2 kamu itu? nah, ambillah tasbih ku ini.”

Lalu Syeikh Suhaimi pun menghulurkan tasbihnya itu kepada muridnya tadi. Tasbih itu bewarna hitam, dan ramai di antara murid2nya kenal akan tasbihnya itu. dan setelah itu maka Syeikh Suhaimi pun berjalanlah meninggalkan muridnya itu.

Kemudian, apabila anak muridnya tadi pulang ke Singapura maka ia dapati bahawa Syeikh Suhaimi sudah pun ada di Singapura, lalu murid tadi berkatalah kepada murid2 lain :

“Kiyai Agung rupanya baru2 ini naik haji. Aku jumpa dia di Makkah di dalam Masjid Haram.”

Dijawab oleh kawan2nya itu, “Tetapi Kiyai Agung sepanjang musim haji yang baru lepas ini ada di Singapura kerana tiap2 hari dia mengajar seperti biasa dan menjadi imam di Masjid Ma’ruf.”

Lalu murid yang baru balik dari Makkah itu telah menunjukkan utas tasbih yang diberikan kepadanya oleh Syeikh Suhaimi di dalam Masjid Haram itu dan setengah daripada murid2nya yang melihat utas tasbih yang ditunjukkan oleh murid itu kenallah dengan segera bahawa utas tasbih itu memang benar dulunya kepunyaan Syeikh Suhaimi. Maka inilah satu lagi contoh kejadian yang menunjukkan bahawa Syeikh Suhaimi boleh berada di dua tempat dalam satu masa.

MENGHILANGKAN DIRI

Telah dikhabarkan oleh seorang murid Syeikh Suhaimi yang bernama Haji Abdul Hamid bin Mirhani [yang satu masa dahulu pernah menjadi imam Masjid Taqwa di Gelang] bahawa Syeikh Suhaimi telah berkata kepada murid2nya di Singapura supaya jangan mencarinya selepas sembahyang Maghrib hingga sembahyang Isyak selama beberapa hari. Kata Haji Abdul Hamid itu lagi bahawa ia sendiri dan murid2 lain telah menyaksikan bahawa tiap2 lepas sembahyang Maghrib di dalam beberapa yang tersebut itu, sedang Syeikh Suhaimi duduk di hadapan mereka di tepi mihrab [tempat imam] di Masjid Ma’ruf itu tiba2 ia ghaib.

Kemudian Syeikh Suhaimi akan kembali semula pada ketika bila membaca iqamah untuk sembahyang Isyak.

WALI ALLAH

Pendeknya banyaklah lagi kejadian2 yang ganjil dan menghairankan telah berlaku pada Syeikh Suhaimi ataupun telah dilakukannya yang tidaklah dapat dimuatkan di dalam kitab yang kecil ini. Bagaimanapun, daripada kejadian2 yang telah tersebut itu maka murid2nya telah yakin dengan tiada syak lagi bahawa Syeikh Suhaimi ialah seorang Wali Allah.

“SERU NAMA AKU” @ Tawassul kepadanya dgn izin Allah

Syeikh Suhaimi telah berpesan dan memberitahu keluarganya dan murid2nya bahawa jika sesiapa di antara mereka menemui sesuatu bahaya atau kesusahan atau ada sesuatu hajat maka mereka serulah namanya, Insya Allah ia akan menolong mereka. Pesanan Syeikh Suhaimi ini telah diikuti oleh keluarga dan murid2nya, maka seruan itu telah berhasil pada umumnya dengan syarat bahawa orang yang memohon pertolongan itu hendaklah menurut perintah Allah SWT dan menjauhkan larangan-Nya.

Pesanan yang seperti ini tidaklah berbeza dengan kebanyakan tariqat2 lain yang hak, kerana pengasas2 tariqat2 yang lain itu juga ada berpesan seperti itu kepada murid2 atau pengikut2 mereka.
TEBU LEMBUT SEPERTI KAPAS

Pada suatu masa beberapa orang murid2 Syeikh Suhaimi telah sesat di dalam sebuah hutan ketika hendak mendaki gunung pondok [Gunung Berapit] di Negeri Perak, lalu mereka telah berasa sangat dahaga. Mereka pun teringatlah pesanan Syeikh Suhaimi yang baru tersebut tadi, lalu mereka pun menyeru namanya dan meminta pertolongan supaya didapati air untuk minum dan supaya ditunjukkan jalan untuk selamat daripada kesesatan itu.

Tiba2 tidak berepa lama selepas itu mereka telah menjumpai serumpun pokok tebu lalu mereka pun terus mematahkannya dan mereka dapati bahawa tebu itu mudah sahaja dipatahkan serta isi tebu itu lembut seperti kapas dan manis daripada tebu biasa.

sugarcane.jpg

TERLUPA BAWA WANG TAMBANG

Di lain masa pula ada seorang muridnya di salah sebuah kampung hendak belayar menaiki keretapi. Apabila ia tiba di perhentian keretapi itu tiba2 ia dapati wangnya telah tertinggal. Hendak balik ke rumahnya pun sangat jauh sedangkan masa keretapi itu datang sudah hampir dan ia mesti menaiki keretapi itu untuk menghasilkan tujuannya.

Ia pun teringat pesanan Syeikh Suhaimi itu, lalu apabila ia berada di dalam keretapi tadi maka ia pun menyeru nama Syeikh Suhaimi meminta pertolongan . Maka tukang tiket keretapi nampaknya tidak melihat akan dia dan tidaklah meminta wang tambang itu daripadanya.

UNTUK UBATAN

Begitu juga banyak daripada murid2nya apabila kena sesuatu penyakit, mereka segera menyeru kepadanya meminta supaya disembuhkan penyakit itu maka biasanya penyakit itu telah sembuh. Bahkan banyak daripada murid2nya telah mengubatkan orang lain dengan menyeru nama dan meminta pertolongan daripadanya maka pada umumnya permintaan mereka berhasil dan berjaya.

SILAT DAN MENJAGA DIRI

Bahkan hingga sekarang, dengan cara dan syarat yang tertentu maka ribuan pemuda dan pemudi juga boleh bermain pencak silat dengan gaya yang istimewa, iaitu tanpa guru yang zahir; hanya dengan dibaca beberapa potong ayat Quran dan selawat kepada Nabi SAW dan kemudian diseru nama Syeikh Suhaimi dan meminta supaya dia mengajar mereka pencak silat itu.

Dan begitu juga ramai daripada pemuda dan pemudi tersebut telah dapati diri mereka terselamat dan terlepas daripada berbagai bahaya termasuk bahaya senjata dengan sebab mengambil ayat2 al-Quran yang tertentu daripada wakil2 Syeikh Suhaimi dan mengamalkannya selepas sembahyang [ Aurad Muhammadiah] serta menyeru kepada Syeikh Suhaimi untuk menolong mereka ketika di dalam bahaya itu. dan disyaratkan lagi bahawa mereka mendapat ijazah daripada wakil2 itu.

Pendeknya banyaklah lagi pengalaman2 yang ganjil yang didapati oleh murid2 Syeikh Suhaimi itu apabila mereka menyeru namanya untuk dihasilkan sesuatu hajat yang tertentu.

HENDAK PERGI LAMA [DENGAN CARA GHAIB]

Setelah segala yang tersebut itu maka pada suatu hari Syeikh Suhaimi telah memanggil setengah2 keluarganya dan beberapa orang anak muridnya yang karib untuk berunding. Ia telah berkata kepada mereka bahawa masanya sudah sampai untuk ‘ghaib’ daripada mereka, tetapi ia bukan mati kerana ia akan kembali lagi.

Selain daripada itu maka ia juga telah menerangkan kepada mereka tentang mengapa ia akan ghaib, ke mana ia akan pergi dan mengapa pula ia akan kembali semula dan apabila ia kembali semula itu maka siapakah ia akan jadi [iaitu ia akan mendapat jawatan yang tertentu] dan lain2 lagi. Dan ia berkata lagi bahawa siapa yang panjang umur akan melihat dan menjumpainya lagi.

Kemudian Syeikh Suhaimi telah mengingatkan mereka bahawa satu daripada tanda2 yang penting untuk mengenalkannya apabila ia kembali semula nanti ialah sebiji tahi lalat hidup yang ada di tempat tertentu di pipi kanannya, dan ia berpesan kepada mereka supaya jangan memberitahu kepada sebarang orang tentang tempat yang tepat bagi bagi tahi lalat tadi kecuali kepada keluarganya dan murid2nya yang sudah lama dan tekun mengamalkan amalan2 serta sudah nyata kejujurannya.

Maka kerana ia tidak lama lagi akan ‘ghaib’ itu walhal ia bukan mati dan akan kembali semula, ia pun telah berunding dengan mereka yang hadir sebagaimana telah tersebut tadi tentang apakah cara yang baik sekali ia meninggalkan mereka. Adakah lebih baik dia pergi dengan menghilangkan dirinya begitu sahaja ataupun ia pergi dengan meninggalkan sesuatu yang nampaknya sahaja sebagai jasad untuk menggantikan dirinya yang sebenar itu.

Setelah berunding maka keputusan yang telah diambil ialah Syeikh Suhaimi janganlah pergi dengan ghaib atau hilang begitu sahaja kerana yang demikian itu boleh menimbulkan salah sangka atau tuduhan dari orang ramai bahawa Syeikh Suhaimi boleh jadi sudah dibunuh atau diculik dan lain2 lagi. Ini pula pasti akan mendatangkan fitnah dan kesusahan dengan pihak polis. Dari itu maka yang eloknya ialah dia pergi dengan meninggalkan sesuatu yang dinampakkan sebagai jasadnya untuk menggantikan dirinya yang sebenar itu.

“MENINGGAL”

Setelah beberapa hari selepas rundingan yang telah tersebut itu maka Syeikh Suhaimi pun ‘meninggallah’di Kampung Teluk Pulai, Kelang, Selangor pada hari Ahad, 21hb. Rejab tahun 1343 Hijrah bersamaan dengan tahun 1925 Masihi dan “ganti” Syeikh Suhaimi itu telah dikebumikan di tanah perkuburan Klang.

MASIH DIJUMPAI SELEPAS ITU

Syeikh Khairullah b. Muhammad Suhaimi [anak lelaki yang ketiga bagi Syeikh Suhaimi] telah berkata walau pun Syeikh Suhaimi sudah ghaib tetapi bukti yang nyata tentang ia masih hidup itu ialah dari semasa ke semasa [tetapi jarang2] ia masih datang menjumpai atau menziarahi Syeikh Khairullah di Klang bahkan ia memberi satu ayat untuk diamalkan dan dibaca jika bila2 penting hendak menjumpainya. Tetapi Syeikh Khairullah telah berkata bahawa di masa kemudian2 ini Syeikh Suhaimi memberitahunya bahawa ia mungkin tidak boleh datang lagi kerana urusannya semakin bertambah dengan sebab masa ia kembali itu sudah semakin hampir.

Bagaimanapun, Insya Allah, ia masih tetap dapat menolong akan sesiapa daripada murid2nya atau pengikut2nya yang mahu meminta tolong padanya dengan cara ghaib atau batin itu. Bahkan Syeikh Suhaimi telah berkata lagi bahawa satu daripada tanda ia sudah hampir kembali itu ialah semakin ramai orang2 ghaib yang akan datang kepada murid2nya dan menghampiri mereka untuk menjaga dan memberi pertolongan kepada mereka dengan syarat mereka memelihara dan menunaikan hukum2 Allah serta tekun menjalankan atau mengamalkan bacaan2 yang diambil daripadanya atau wakil2nya.

BAGAIMANA IA TAHU?

Tadi, sudah dinyatakan bahawa Syeikh Suhaimi belum mati dan ia akan kembali sebagai seorang yang berpangkat yang tertentu. Bagaimana ia telah dapat tahu bahawa dirinya akan berpangkat dengan pangkat yang begitu besar?

Syeikh Khairullah iaitu salah seorang anaknya telah menyatakan bahawa Syeikh Suhaimi telah mengkhabarkan kepadanya bahawa Majlis Wali-Walilah yang telah membuat keputusan memilih dan melantiknya untuk menyandang “Jawatan” yang besar itu.

Petikan Manaqib Syeikh Muhammad bin Abdullah As Suhaimi, Boleh didapati di PERIPENSIS, Singapura

Link : Ijtihad:Pengakuan Cucu Sheikh Suhaimi

December 8, 2006 - Posted by heliconia | Miscl | , , | 1 Comment

1 Comment »

  1. kedatangannya sudah pasti.insyaallah islam akan bangkit dari timur.kami menunggu kedatanganmu ihmamul mahdi……………..

    Comment by muhammad asraf@yasin | May 5, 2007

Leave a comment