Heliconia’s Weblog @ Malaysia

Love God, Care for Humankind

Karamah Lahiriah Sheikh Suhaimi - Bhg1

4994tree.jpg

SIFAT CEKAL DAN SIFAT BERANI

Kita telah mengetahui daripada perjalanan hidup Syeikh Suhaimi yang telah tersebut dahulu bahawa pengembaraannya di Tanah Arab dan lain2 negeri lagi itu menunjukkan bahawa Syeikh Suhaimi mempunyai sifat cekal dan berani. Ada pun keberaniannya terhadap seteru2nya pula akan disebutkan sebagaimana berikut ini :

Ketika Syeikh Suhaimi baharu menjadi imam di masjid Ma’ruf itu maka ada di antara kaum Jawa yang sangat memusuhinya kerana beberapa sebab. Maka mereka telah berkali2 mendendam dan mengancam hendak memukul Syeikh Suhaimi. Apakala telah diketahui dengan jelas oleh Syeikh Suhaimi akan hal itu maka ia pun tidak lengah lagi mengajak salah seorang kawannya pergi ke rumah salah seorang seterunya pada suatu malam.

Rupa2nya di waktu itu beberapa orang seterunya sedang berunding di rumah itu hendak melakukan kehendak hawa nafsu mereka [iaitu hendak memukul atau memecahkan kepala Syeikh Suhaimi] lalu ia pun memberi salam dan meminta izin masuk.

Dan ia pun berkatalah kepada seteru2nya itu lebih kurang begini :

“Saya telah mendengar dengan nyata dan tidak ragu2 lagi tuan-tuan semua hendak memukul saya. Sekarang saya sudah datang ke mari. Lakukanlah maksud tuan-tuan itu. Tuan-tuan semua tidak payahlah lagi hendak mencari2 saya.”

Tidak Mengaku

Tetapi apabila mereka itu berhadapan dengan Syeikh Suhaimi tadi maka mereka bukan sahaja tidak jadi memukulnya bahkan mereka juga tidak mengaku ada niat hendak memukulnya sama sekali.

Maka begitulah halnya mereka; hati terlalu hasad dengki tetapi tidak dapat hendak membuat apa2 kepada Syeikh Suhaimi walaupun mereka pada mula2nya telah berazam kuat hendak menganiayainya.

Tetapi walau bagaimana sekalipun, ketua seterunya itu tetap tidak mahu berbaik atau berdamai dengan Syeikh Suhaimi sehingga orang itu mati setelah dua tahun mengidap suatu penyakit yang menyebabkan rupa dan sifatnya menjadi tidak senonoh.

Baharu tadi telah dinyatakan tentang keberanian Syeikh Suhaimi terhadap sesama manusia, bahkan lebih2 lagi begitu jika untuk menjalankan atau menegakkan perkara2 yang hak dan benar berkenaan dengan hukum-hukum Allah SWT dan memelihara perintah2-Nya sebagaimana yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW itu.

Kehebatan Sheikh Suhaimi

Satu lagi perkara yang ganjil yang terdapat pada Syeikh Suhaimi itu ialah sifat kehebatannya. Maka sangatlah hebat dirinya dirasai oleh mereka yang menghadapnya sehingga mereka merasa segan dan gerun, dan mereka berjalan melutut di hadapannya untuk pergi menghadapnya, dan apabila mereka berpisah daripadanya maka mereka undur dengan tidak membelakangkannya sambil melutut juga.

Demikianlah juga musuh2nya dan orang2 yang ada niat yang tidak baik kepadanya maka mereka sekalian sama ada kawan atau lawan, apabila berjumpa dengannya mereka tidak boleh berkata2 panjang kerana lidah mereka menjadi kelu dan kaku.

Setengahnya pula pernah berdialog [bercakap] di luar2 dengan berdegar2 dan membesar2kan diri bahawa ia sanggup menemui Syeikh Suhaimi dan berani berlawan tikam lidah dengannya kerana apakah yang hendak ditakutkan daripadanya?

Tetapi apabila orang itu sudah sampai di hadapan rumah Syeikh Suhaimi maka ia hanya boleh berjalan pergi balik, pergi balik sahaja di hadapan rumah itu. Tidak berani masuk ke dalam rumahnya itu apatah lagi hendak menghadapinya dan berlawan lidah dengannya.

Akhirnya ia telah pulang begitu sahaja tanpa berjumpa dengan Syeikh Suhaimi pun.

Mereka Tidur Nyenyak

Lagi seorang tua murid Syeikh Suhaimi yang sekarang sudah meninggal dunia, namanya digelar orang sebagai “Pak Mat Hongkong” [yang terkenal di Geylang Serai pada masa hidupnya] telah menceritakan bagaimana pada suatu hari tiga orang samseng telah datang ke rumah Syeikh Suhaimi untuk “mencari pasal” supaya boleh memukulnya. Tetapi apabila mereka masuk ke dalam rumah Syeikh Suhaimi setelah dijemput masuk maka mereka terus berasa mengantuk dan selepas sebentar mereka telah tidur dengan nyenyak dengan tidak sedarkan diri masing2.

Lalu ketiga2 mereka itu telah diangkat oleh Syeikh Suhaimi seorang diri [iaitu seorang daripada mereka diangkat di atas bahu Syeikh Suhaimi dan seorang lagi diangkat pada tangan kanannya manakala orang yang ketiga itu diangkat pada tangan kirinya]. Maka dengan cara itu ia telah membawa mereka dan menghantar mereka pulang ke rumah masing2 sedangkan mereka terus menerus tidur dengan nyenyaknya.

TANDA2 KELEBIHAN SYEIKH SUHAIMI

Selain daripada kejadian2 yang luar biasa yang telah tersebut dahulu yang telah berlaku pada Syeikh Suhaimi itu maka sekarang akan disebutkan lagi beberapa kejadian ganjil yang lain yang telah dilakukan oleh Syeikh Suhaimi.

close-up-grape2.jpg

Pada suatu masa sedang Syeikh Suhaimi dan beberapa orang dari murid2nya sedang membersihkan dan meratakan sebidang tanah untuk mendirikan sebuah masjid di atasnya dan juga menggali tanah itu untuk membuat kolam bagi masjid tadi tiba2 salah seorang daripada murid2 itu telah berkata sebagai bergurau manja kepada Syeikh Suhaimi :

“Kalaulah tengah kita haus dan penat ini kita boleh dapat buah anggur, alangkah bagusnya.”

Syeikh Suhaimi pun menjawab, “Betulkah awak semua hendak buah anggur itu sekarang?”

Maka ia pun berhenti dari membersihkan tanah itu sebentar lalu menanggalkan songkok putihnya daripada kepalanya dan melatakkan terlentang di atas tapak tangannya. Tiba2 songkok itu kelihatan penuh dengan buah anggur, lalu dengan tidak bertempoh lagi ia membahagikan buah anggur itu kepada mereka sekalian yang sedang bekerja membersihkan tanah itu, dan anggur itu rasanya sungguh manis dan lazat.

PERARAKAN YANG DILARANG MENONTONNYA

Ketika Syeikh Suhaimi menginap buat sementara di Kampung Marikan, Batu Tiga dekat Seranggoon Road, Singapura, tiba2 pada suatu petang ia telah berkata begini :

“Nanti malam ada perarakan di Jalan Seranggoon ini, tetapi kamu jangan keluar menontonnya.”

Ahli rumahnya dan murid-muridnya telah merasa hairan mendengarkan perkataannya itu sesuatu perarakan akan diadakan pada malam itu tetapi mereka dilarang pergi menontonnya.

Rupa2nya pada malam itu, lebih kurang pada tengah malam, bagi mereka yang belum tidur atau mereka yang tersedar daripada tidur maka tiba2 kedengaranlah bunyi tembak menembak. Setelah itu pada siangnya dapatlah diketahui bahawa suatu rompakan bersenjata telah berlaku di kawasan Geylang, lalu perompak2 itu telah lari dikejar oleh pihak polis sambil kedua2 pihak saling tembak menembak.

Perompak2 itu telah lari mengikut Paya Lebar Road, Macpherson Road dan terus ke Seranggoon Road berhampiran dengan rumah kediaman Syeikh Suhaimi itu, perompak2 itu telah terus dikejar dan akhirnya telah ditangkap.

Selepas kejadian itu maka ahli-ahli rumahnya dan murid2nya fahamlah tentang perarakan yang dimaksudkan itu dan mengapa mereka dilarang pergi menontonnya.

KUDA BOLEH BERKATA-KATA

Pada suatu hari Syeikh Suhaimi telah berkata kepada murid2nya, “Tidak berapa lama lagi kamu semua akan berjumpa dengan kuda pandai bercakap.”

Murid2nya terperanjat dan hairan mendengarkan yang demikian itu, lalu mereka berasa sangat ingin hendak bertemu dan melihat kuda yang pandai bercakap itu. tidak berapa lama daripada itu, buat pertama kali kereta beca telah dibawa dari Negeri China dan digunakan di Singapura. Sedia maklum bahawa kereta beca itu berjalan dengan ditarik dari depannya oleh seorang Cina, sama sebagaimana seekor kuda menarik kereta. Di waktu itu murid2 Syeikh Suhaimi teringat dan fahamlah tentang ramalan Syeikh Suhaimi bahawa mereka akan berjumpa dengan kuda yang pandai bercakap.

rickshaw2.JPG

MERAMPAS ANAK ANGKAT

Pada suatu masa yang lain pula maka seorang wanita yang pertengahan umur, dari Johor, bekas isteri seorang Tengku, telah datang menghadapi Syeikh Suhaimi di Singapura dan menyatakan bahawa ketika ia masih menjadi isteri Tengku itu ia telah mengambil seorang anak kecil yang berketurunan raja sebagai anak angkatnya dengan persetujuan penuh daripada kedua ibu bapa kanak2 itu.

Tetapi apabila kanak2 itu sudah besar sedikit dan sudah boleh berkata2, dan wanita itu pula sudah bujang dengan sebab kematian suaminya itu, tiba2 ibu kanak2 itu telah mengambil kanak2 itu semula dengan paksa daripada emak angkatnya tadi.

Oleh kerana keluarga ibu asalnya itu berpengaruh kuat di Johor maka emak angkat itu tidaklah berani hendak membuat apa-apa secara terang2 untuk hendak mencuba meminta anak angkatnya itu kembali kepadanya. Di dalam hal kebingungan itu tiba2 ada seorang kenalannya telah menasihatkannya supaya ia pergi berjumpa dengan Syeikh Suhaimi untuk meminta pertolongan di dalam perkara itu.

ARAHAN SYEIKH SUHAIMI KEPADA WANITA ITU

Setelah mendengar pengaduan wanita itu maka Syeikh Suhaimi telah menyuruh wanita itu sebagaimana berikut :

“Ce’ keluarlah daripada rumah sebelum pukul tujuh pagi pada hari Rabu, sekian haribulan, dan jangan lengah terus pergi ke sekian jalan di sekian tempat dan tunggu di situ. Perhatikan kereta yang datang daripada sekian arah. Nanti Ce’ akan nampak kereta kepunyaan mereka datang. Tahanlah sahaja kereta itu nescaya ia akan berhenti, dan anak itu ada di dalamnya. Ce’ janganlah lengah2 ambil sahaja anak itu dan terus bawanya ke Singapura dan biarkan dia diam di Singapura.”
Wanita itu telah menurut betul2 sebagaimana yang telah disuruh oleh Syeikh Suhaimi itu, dan ia dapati kemudiannya bahawa apa yang dikatakan oleh Syeikh Suhaimi itu tepat berlaku dengan sepenuhnya sehingga ia telah berjaya membawa anak angkatnya itu ke Singapura dengan selamatnya.

Dan wanita itu kemudiannya telah berkata bahawa suatu perkara yang sangat mengahirankannya di dalam peristiwa mengambil anak angkatnya itu ialah bahawa apabila ia mengambil budak itu daripada ibu asalnya di dalam keretanya itu maka ibunya telah terdiam sahaja dengan tidak berbuat apa2 dan tidak berkata apa-apa.

KENA HUJAN TIDAK BASAH

Pada suatu hari Syeikh Suhaimi dan dua atau tiga orang muridnya telah menziarahi rumah salah seorang muridnya yang lain. Ketika mereka hendak pulang, tiba-tiba hujan turun dengan lebatnya tetapi Syeikh Suhaimi tetap mengajak anak muridnya itu pulang sedangkan mereka tiada payung. Apabila mereka berjalan di dalam hujan itu maka anak2 muridnya itu dapati bahawa mereka sekalian tidak basah.

MOTORBOT TENGGELAM

Al Ustaz Haji Abdul Rahman Al Jempoli [berasal dari Jempol, Negeri Sembilan] telah menyatakan bahawa Syeikh Suhaimi di dalam salah satu pelayaran daratnya telah tiba di bandar Muar itu. Pada masa itu sudah ada motor bot untuk membawa penumpang2 menyeberang sungai itu. Apabila Syeikh Suhaimi sampai di tepi sungai itu maka kebetulan motor bot itu sudah siap untuk bertolak dan pemandu bot itu tidak menghiraukan rayuan Syeikh Suhaimi supaya menanti dia menaikinya.

Tetapi belum jauh bot itu berjalan tiba2 ia pun mula karam. Semua penumpang2nya dapat diselamatkan, tetapi motor bot itu tidak boleh timbul walaupun pekerja2 telah mencuba seberapa daya hendak menimbulkannya. Akhirnya ada seorang yang memberitahu kepada taukeh Cina pemunya motor bot itu supaya meminta maaf kepada Syeikh Suhaimi dan membawanya menyeberang sungai itu.

Taukeh itu pun membuat begitu, maka setelah itu motor bot tadi telah dapat ditimbulkan semula dengan tidak begitu payah.

MENGHALAU PENGACAU RUMAH

Pada suatu masa sebuah rumah yang tiada tingkap di Jalan Sultan, Singapura, telah dikacau atau telah diganggu oleh suatu keadaan yang ganjil dan menakutkan. Orang2 yang tidur di situ kerapkali apabila bangun daripada tidur telah dapati diri mereka berada di tepi longkang di sebelah jalan besar yang ada di hadapannya rumah itu.

Beberapa bomoh telah dipanggil untuk mengatasi perkara itu tetapi tidak berjaya. Akhirnya Syeikh Suhaimi telah dipanggil dan ia telah dapat menghapuskan kejadian yang tersebut itu.

DITOLONG OLEH IKAN MERAH

redsnapper1.gif

Syeikh Suhaimi telah menceritakan bahawa pada suatu masa ketika dia belayar menyeberangi Laut Merah yang letaknya di sebelah barat Tanah Arab maka perahu layar yang dinaikinya itu telah karam dengan sebab ribut, dan sedang dia berada di dalam air itu tiba-tiba datanglah seekor ikan merah yang besar menghimpit di sebelahnya.

Tetapi ikan itu tidak membuat apa-apa kepadanya. Ia telah cuba menghalau ikan itu daripadanya tetapi ikan itu tetap sahaja berada di sebelahnya. Syeikh Suhaimi pun fahamlah bahawa ikan itu hendak menolongnya. Ia pun berpautlah pada belakang ikan itu maka barulah ikan itu mula berarak dan berenang di atas permukaan air menuju ke pantai sehingga sekira2 kaki Syeikh Suhaimi jejak ke tanah di bawah air itu.

Selepas Syeikh Suhaimi itu melepaskan pautannya dari belakang ikan itu maka ikan itu enggan bergerak dari situ. Akhirnya Syeikh Suhaimi telah berkata kepada ikan itu bahawa ia berjanji tidak mahu lagi memakan ikan merah, dan ia juga akan melarang anak cucunya memakan ikan merah itu. Pada ketika itu maka barulah ikan itu berenang daripada situ dan kemudian menyelam dan hilang di dalam air itu.

Peristiwa yang baharu tersebut itu telah berlaku pada masa Syeikh Suhaimi baru memulakan langkah untuk menjalani kehidupan ahli tariqat dan sedang mencari2 akan panduan yang hak daripada guru2 batin yang terkenal.

Petikan Manaqib Syeikh Muhammad bin Abdullah As Suhaimi, Boleh didapati di PERIPENSIS, Singapura

December 7, 2006 - Posted by heliconia | Miscl | , , | No Comments

No Comments »

No comments yet.

Leave a comment