Heliconia’s Weblog @ Malaysia

Love God, Care for Humankind

Ibadah & Amalan Sheikh Suhaimi

dry_leaves.jpg

IBADAH & AMALAN SYEIKH SUHAIMI

Kemudian, daripada apa yang telah tersebut itu maka pentinglah disebutkan pula setengah daripada kelakuan2 dan amalan2 Syeikh Suhaimi [Rahimahullahu Taala] yang luar biasa dan ganjil yang jarang boleh dijumpai pada lain2 orang. Dan juga sifat2 yang mulia dan tinggi yang ada pada Syeikh Suhaimi itu memang banyak, dan di antaranya banyak yang sayugia dijadikan teladan bagi murid2nya dan bagi lain2 orang Islam juga untuk diikuti seberapa yang terkuasa.

SEMBAHYANG BERJEMAAH & AWAL WAKTU

Setengah daripada kelakuan Syeikh Suhaimi itu ialah mengerjakan tiap2 sembahyang fardhu dengan berjemaah sama ada di masjid atau di rumah, sama ada di rumahnya sendiri atau di rumah orang lain sekalipun, bahkan walau ketika di dalam pelayaran, siang atau malam. Bolehlah dikatakan hal itu tidak pernah ditinggalkan olehnya lebih2 lagi ia menjadi imam di masjid itu.

Demikian juga Syeikh Suhaimi sangat menjaga tentang mengerjakan tiap2 sembahyang fardhu pada awal waktunya, sehingga jadilah masyhur perkara itu di kalangan ramai. Jarang sekali ia sembahyang terlewat sehingga keluar daripada awal waktu sembahyang fardhu itu sama ada dia menjadi imam di masjid atau sembahyang di rumah walaupun di rumah orang lain, bahkan walaupun ketika belayar.

RIADHAH ROHANI ATAU BERLAPAR

Tentang senaman rohani atau riadhah rohani iaitu berpuasa dan berlapar bukan sahaja pada siang hari bahkan mengurangkan makan pada malam hari juga atau dengan lain2 perkataan bertapa di mana bertapa ialah suatu perkara yang tidak mudah dilakukan oleh seseorang kebanyakan [orang awam], bahkan jarang juga para ulama mahu dan boleh melakukannya. Di mana Syeikh Suhaimi menahun di Makkah dan negeri2 Arab yang lain [sebagaimana sudah disebutkan dulu] maka kerap kali sahaja ia melakukan riadhah itu sehingga sebulan [atau lebih] lamanya, dengan berpuasa pada siang hari manakala pada malamnya pula ia tidak makan atau minum apa2 kecuali sedikit buah2an dan air kopi sahaja. Hal yang seperti ini telah dilakukan olehnya tiap2 tiga bulan sekali ataupun lebih kerap lagi.

Kebanyakan orang biasanya jika hendak mengerjakan riadhah yang seperti itu maka mereka mengasingkan diri atau berpisah daripada orang ramai dan bersendirian di tempat2 sunyi. Tetapi Syeikh Suhaimi tidak memilih tempat. Bila2 ia berazam hendak “menahan makan” itu maka ia lakukannya di mana sahaja.

MURAH HATI

Syeikh Suhaimi tidaklah sekali2 boleh dibilangkan seorang yang ada banyak harta, kerana pendapatannya bolehlah dikatakan hanya cukup untuk dibuat belanja bagi keperluan dirinya dan ahli rumahnya sendiri sahaja. Tetapi jika dipandang tentang ia suka menolong orang maka bolehlah dia dihitung sebagai seorang yang bersifat pemurah hati kerana kerap kali sahaja ia membahagi-bahagikan pakaian kepada murid2nya yang miskin atau berhajat dan kepada penjaga2 masjid, peminta2 sedekah dan lain2 lagi.

Begitu juga jika ada saudara2 Islam daripada bangsa apa jua pun yang hendak pulang ke negeri mereka lalu meminta bantuan pada Syeikh Suhaimi nescaya ia memberi tambang mereka. Adapun tentang berderma untuk membuat atau membaiki masjid2 dan surau2 maka banyaklah khairat2 yang telah diberikan olehnya, lebih2 lagi tentang sedekah kepada orang2 “dagang” dan orang2 yang berhajat, dan juga berkhairat untuk mengadakan majlis membaca Maulid Nabi s.a.w. dan lain- lain lagi.

MURAH HATI TENTANG MENGAJAR

Sifat Syeikh Suhaimi yang baharu tersebut tadi itu ialah berkenaan perkara harta. Adapun murahnya berkenaan mengajar ilmu2 maka yang demikian itu lebih luas lagi, kerana ia tetap sahaja pada tiap2 pagi dan petang dan juga selepas sembahyang Jumaat sedia mahu menunjuk ajar berkenaan agama Islam di masjid, sebagaimana kita sudah sebutkan dahulu dan juga dari semasa ke semasa ia pernah mengadakan majlis yang seperti itu di rumahnya sendiri untuk kaum ibu pula.
Dan sesiapa yang meminta keterangan atau penjelasan bagi sesuatu masalah agama nescaya dengan segera dilayankan perkara itu lalu diberi keterangan kepada orang itu dengan tidak dipayah-payahkan atau ditempoh-tempohkan. Begitu juga sekali2 ada orang datang meminta diajarkan sesuatu ilmu dengan seorang diri sahaja maka ia telah kabulkan permintaan itu.

AMALAN DAN IBADAT-IBADAT SYEIKH SUHAIMI

Selain daripada sembahyang fardhu yang dikerjakan pada awal waktunya maka semua sembahyang2 sunat Rawatib Qabliah dan Ba’diah tetap diamalkan oleh Syeikh Suhaimi dengan tidak pernah putus2. Begitu juga dengan sembahyang sunat witir selepas sembahyang Isyak dan sembahyang Dhuha sama ada di rumahnya sendiri atau semasa berada di rumah orang lain bahkan begitu juga di dalam pelayaran. Dan begitu juga sembahyang Gerhana Matahari dan Gerhana Bulan semua itu tidak pernah di tinggalkannya, kecuali jika ada uzur.

WIRID2 DAN ZIKIR2NYA

Sebagaimana diterangkan dahulu bahawa Syeikh Suhaimi ada mempunyai wirid2 yang tertentu yang diamalkannya setiap hari selepas tiap2 sembahyang fardhu dan wirid2 ini mengandungi ayat2 Quran dan selawat. Sebagai mana yang telah disebutkan dahulu juga bahawa Syeikh Suhaimi telah mendapatkannya daripada “roh” Rasulullah SAW sendiri ketika sedar atau jaga [iaitu bukan di dalam mimpi] selepas tengah malam di dalam Kaabah di Makkah Al Mukarramah.

WIRID MENGAJAR

book.jpg

Demikian juga sebagaimana telah disebutkan dahulu bahawa selama Syeikh Suhaimi di dalam keadaan sihat dan afiat maka ia tetap sahaja mengajar akan ilmu2 agama Islam iaitu Tauhid, Feqah dan Tasawwuf tiap2 hari dan selepas sembahyang Jumaat kecuali di dalam bulan puasa maka ia mengajar hanya selepas sembahyang Asar sahaja dan sekali-sekali ia mengajar juga lagi selepas sembahyang Terawih.

Adapun nama kitab2nya yang diajarkan oleh Syeikh Suhaimi itu ialah Syarah Fathul Qarib, Fathul Mu’in, Minhajul Qawim, Syarhul Azkia’fi Tarikil Aulia, Syarhul Irsyadil ‘Ibad fi Subulir Rasyad, Tafsirul Jalalain dan sebuah kitab yang bernama An Nafhatul Miskiah yang dikarang oleh Syeikh Suhaimi sendiri di dalam bahasa Arab dan terkandung di dalamnya tiga bahagian :

i. Kelebihan menuntut ilmu
ii. Kelebihan membaca Maulid Nabi SAW
iii. Tahlil yang dibaca tiap-tiap kali sebelum dibaca
Maulid Barzanji dan Maulid Diba’I

Selain daripada itu, Syeikh Suhaimi telah juga mengarang kitab2 di dalam bahasa Arab mengenai Israk dan Mikraj, Tauhid atau Aqaid dan lain2 lagi.

WIRID MAULID NABI SAW

Dan sebagaimana telah disebutkan juga dahulu bahawa Syeikh Suhaimi tidak pernah meninggalkan membaca Maulid Nabi SAW pada tiap2 malam Jumaat dan pada tiap2 malam Isnin. Dan dengan galakannya maka hingga sekarang murid2nya masih banyak yang membuat begitu di masjid2 atau di surau2 ataupun di rumah2. Kaum2 ibu juga dibenarkan membaca Maulid itu di dalam majlis mereka sendiri dengan suara yang kuat.

Perkara ini telah ditentang keras pada masa itu oleh kebanyakkan kiyai2 dan ulama di Singapura dan di Tanah Jawa, tetapi sekarang pada ulama dan kiyai2 di negeri2 yang tersebut telah bersetuju dengan pendapat Syeikh Suhaimi kerana kita lihat di sana sini kaum wanita sekarang mengadakan majlis yang di dalamnya diadakan Maulid yang dibaca oleh kaum wanita sendiri dengan suara yang kuat dan berlagu-lagu. Dan begitu juga tentang bacaan Quran, nasyid2 dan lain2nya bahkan wanita2 sekarang juga berceramah dan bersyarah di hadapan khalayak ramai yang ada di dalamnya kaum lelaki dan wanita.

Mereka yang tidak bersetuju dengan perkara yang tersebut tadi yang sebenarnya tidak mempunyai apa2 alasan dari segi syarak, bahkan nyatalah mereka menurut perasaan sahaja. Bagaimana pun maka Syeikh Suhaimi melarang tentang diadakan pukulan kompang atau tambur di dalam majlis Maulid dan ia enggan hadir di dalam majlis2 seperti itu.

Petikan: Manaqib Syeikh Muhammad bin Abdullah AsSuhaimi - boleh didapati di PERIPENSIS, Singapura.

December 6, 2006 - Posted by heliconia | Miscl | , , | 2 Comments

2 Comments »

  1. Alhamdulillah, Moga2 kita tidak termasuk dalam orang2 yang menolak kebenaran walau kebenaran itu sudah terbentang di mana-mana.

    Comment by Peminat Al-Imam Al-Mahdi | February 19, 2007

  2. Dikisahkan bahawa Kiyai Agung Muhammad bin ‘Abdullah as-Suhaimi BaSyaiban memang sangat istiqamah, tanpa gagal kecuali dalam keadaan uzur , mengamalkan bacaan maulid Junjungan Nabi s.a.w., tetapi pernah pada awalnya, kadangkala beliau meninggalkannya. Pada satu malam, beliau bermimpi dan dalam mimpi tersebut beliau bertemu dengan Junjungan Nabi s.a.w. dan Sheikh Habib Nuh yang ketika itu sudah pun pulang ke rahmatUllah. Dalam mimpi tersebut, Sheikh Habib Nuh sedang mengiringi Baginda Nabi s.a.w. yang sedang berjalan di hadapan rumah Kiyai Agung, lalu Sheikh Habib Nuh pun berkata kepada Baginda Nabi s.a.w.: “Ya RasulAllah, marilah kita ziarah rumah kawan saya Muhammad Suhaimi.” Tetapi Junjungan Nabi s.a.w. enggan berbuat demikian sambil bersabda: “Saya tak hendak menziarahinya kerana Muhammad Suhaimi ini selalu lupakan saya, kerana dia selalu meninggalkan bacaan maulid saya.” Sheikh Habib Nuh merayu kepada Baginda Nabi s.a.w.: “Saya bermohonlah kepada tuan supaya dia diampuni.” Setelah itu baharulah Junjungan Nabi s.a.w. mahu masuk dan duduk di dalam rumah Kiyai Agung. Inilah kisah mimpi Kiyai Agung, selepas isyarat mimpi itu, maka Kiyai Agung tidak lagi meninggalkan bacaan maulid, hatta dalam pelayaran sekalipun dan walaupun hanya 2 atau 3 orang sahaja dalam majlis pembacaan tersebut.

    Comment by Habib | February 19, 2007

Leave a comment